Mengembara Untuk Memerhati Keajaiaban Alam Sekeliling Dan Belajar

Mengapa kita melancong? Diandaikan ianya adalah berkaitan kerja, berapa kali kita melihat trip perjalanan untuk tujuan kerja disia-siakan tanpa mereka mendapat apa-apa pengalaman yang berguna. Mereka pulang dengan tingkah laku, sifat dan ketrampilan yang sama seperti sebelumnya.

Secara idealnya seperti yang pernah dikongsikan oleh Montaigne, ahli falsafah Perancis: mengembara mencerdaskan minda kita melalui interaksi dengan orang ramai daripada pelbagai rantau dan budaya. Menurutnya lagi, kita boleh belajar daripadanya budaya kerja, inovasi, teknologi dan idea-idea baru.

Bagaimana kita meraih yang terbaik daripada pengembaraan atau trip perjalanan kita?

Pertama-tamanya, kita perlu jelas tentang objektif perjalanan. Trip kerja biasanya datang dengan perbelanjaan kewangan yang signifikan, sesuatu yang sangat diambil perhatian oleh agensi kerajaan. Adalah sangat penting sebelum berlepas ke destinasi yang dituju, kita jelas tentang objektif dan hasil yang ingin diperoleh. Kita juga perlu jelas tentang akibat atau implikasi sekiranya objektif tidak tercapai. Penting untuk kita fokus kepada perkara-perkara yang telah disenaraikan untuk dibuat dan perkara penting yang didapati. Mungkin dengan menyenaraikan perkara-perkara yang ingin ditangani atau bekerjasama dengan rakan lain yang turut sama akan membantu kita mendapatkan hasil yang lebih baik dan mewajarkan dana yang dibelanjakan terutamanya apabila kita menghantar laporan kewangan perjalanan.

Yang kedua, fikirkan tentang bagaimana agaknya trip kerja ini akan dimanfaatkan melalui perkongsian di media sosial. Apakah perkara yang boleh mendapat perhatian? Selain daripada swafoto sendiri atau berkumpulan, apakah bentuk nota pendek yang boleh menarik perhatian atau minat daripada pelbagai pihak? Interaksi dengan pembaca atau pihak berkepentingan melalui perkongsian di media sosial mungkin boleh membuatkan mereka melabur di organisasi atau agensi anda. Apa yang dipaparkan adalah ‘bukti jelas’ pencapaian anda di sebalik trip yang dilakukan.

Yang ketiganya, kita mungkin mengembara secara berkumpulan yang terdiri daripada organisasi yang sama atau daripada agensi yang lain, makanya maksimumkanlah apa yang diperoleh dengan membuat jadual yang teratur melibatkan lawatan, mesyuarat dan peluang pembangunan professional. Sebelum berlepas pulang, cuba aturkan pertemuan dengan orang-orang yang berada di tempat kita lawati untuk dijadikan sebagai rakan dan jaringan strategik. Berada dalam persekitaran yang asing adalah satu perkara yang menakjubkan untuk kita belajar dan melebarkan jaringan sosial.

Trip ke luar negara kadang-kala agak menyukarkan tetapi ia memberikan satu peluang besar untuk pembelajaran jika kita mengambil masa untuk melakukan pemerhatian dan belajar. Sebagai contoh, ia adalah amat berat untuk seseorang melakukan perubahan. Pengembaraan memberikan kita peluang untuk keluar dari zon selasa dan pantas meraih segalagalanya yang sedang menantikan anda.

Jadi gunakanlah ia secara bijak untuk mendapatkan perspektif baru. Apabila kita berpeluang berinteraksi dengan manusia daripada pelbagai latar belakang, kita akan belajar untuk menjadi seorang yang lebih bersederhana melihat betapa kecilnya ruang yang kita diami ketika ini berbanding dunia yang luas di luar sana. Ini akan membuatkan kita lebih berfikiran terbuka and lebih bersedia untuk menerima perspektif baru.

Apabila kita belajar lebih banyak tentang dunia dan manusia sejagat, ia akan membantu kita untuk keluar dari sempadan minda untuk pergi lebih jauh.