Commonwealth House, Kuala Lumpur
27 Jun 2018

Pelbagai wakil belia melontarkan pandangan untuk perhatian Sekretariat Komenwel

Satu perbincangan meja bulat telah dianjurkan Sekretariat Komanwel dan Pusat Inovasi Belia Komanwel (CYIC) melibatkan wakil-wakil belia dari pelbagai persatuan belia di Malaysia dan individu. Analis Kanan IDR, Mohd Nadzri Kamsin turut menyertai perbincangan meja bulat yang dipengerusikan bersama oleh Sushil Ram, pengurus program Sekretariat Komanwel dan Kishva Ambigapathy, Pengerusi Majlis Belia Komanwel.

Antara perkara yang dibangkitkan oleh peserta dalam perbincangan ini adalah tentang kurangnya persefahaman budaya di antara negara-negara Komanwel dan kurangnya kesedaran tentang aktiviti dan kerja yang dilakukan oleh Komanwel di Malaysia. Wakil IDR, Nadzri telah membangkitkan isu perumahan mampu milik yang semakin kritikal mendepani belia terutamanya yang baru mula bekerja.

Rata-ratanya para peserta bersetuju tentang perlunya lebih banyak platform untuk memudahkan belia menyuarakan pandangan mereka. Mereka sangat mengalu-alukan peranan yang dimainkan oleh Majlis Belia Komanwel (CYC) dalam membantu membangunkan belia dan menjadi penghubung antara belia dan kerajaan di negara-negara Komanwel.

Menurut Ram, lebih banyak perbincangan meja bulat akan diadakan selepas ini untuk mendapatkan lebih input dan pendapat daripada semua pihak berkepentingan. Beliau mengharapkan semua peserta untuk terus terlibat bersama CYC dan Sekretariat Komanwel untuk bersama-sama menyuburkan perkembangan belia di Malaysia.