Nota Editor – Nadzri Kamsin

Kita hidup dalam era ledakan teknologi maklumat yang menyaksikan segalanya berkaitan tentang data dan maklumat. Impaknya sangat besar sehingga ia telah banyak mengubah tatacara kehidupan manusia dalam pelbagai bentuk termasuk dalam membuat keputusan.

Di sektor awam, sudah ada usaha untuk memacu penggunaan Data Raya (Big Data) dalam meningkatkan keupayaan kerajaan untuk membuat keputusan. Dunia pada hari ini semakin kompleks dan sememangnya sudah tiba masa untuk pihak kerajaan melibatkan proses membuat keputusan bersandarkan kepada fakta dan data.

Data Raya yang begitu besar tidak akan bermakna jika kita tidak tahu mengeksploitasikannya. Ianya adalah sangat penting untuk dianalisa dalam mendapatkan corak tersembunyi atau hubungkait di antara banyak perkara dalam kita memahami perkara yang terjadi.

Perkara tersebut mungkin boleh dibuat secara manual tetapi ianya akan mengambil masa yang panjang.

Kini, terdapat banyak perisian canggih di pasaran yang boleh membantu kita menganalisa data secara berkomputer dengan lebih tersusun, berstruktur dan objektif.

Untuk membawa keseluruhan sektor awam menjiwai sepenuhnya penggunaan Data Raya dalam memudahcara proses membuat keputusan akan mengambil masa sedikit dan melibatkan perbelanjaan yang agak tinggi. Selain daripada keperluan untuk membeli peralatan sokongan mahupun perisian, latihan juga perlu diberikan mengikut kesesuaian kepada pekerja sektor awam.

Kita menyambut baik langkah kerajaan yang telah memulakan projek rintis Data Raya di sektor awam. Diharapkan sistem penyampaian perkhidmatan awam akan menjadi semakin efisyen dan berkesan selepas ini dengan pengenalan Data Raya sebagai pemudah cara proses membuat keputusan.