SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim beramah mesra dengan orang ramai pada majlis perasmian Galeri Warisan 22 Hale Street di Jalan Tun Sambanthan, Pekan Lama Ipoh, hari ini. – Foto Effendy Rashid [BH]

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan merasmikan Galeri Warisan 22 Hale Street di Jalan Tun Sambanthan, Pekan Lama Ipoh di sini, hari ini.

Sultan Nazrin turut menyempurnakan lafaz perasmian galeri berkenaan sebelum melakukan lawatan.

Galeri yang dibangunkan di sebuah bangunan warisan selepas menjalani kerja pengubahsuaian selama tiga tahun enam bulan, membawa pengunjung menelusuri sejarah perlombongan bijih timah di Ipoh dari era 1900.

Nama galeri itu diambil sempena nama asal jalan setempat mengabadikan mendiang A Hale, seorang pengutip cukai kerajaan British sebelum ditukar kepada nama Tun Sambanthan sebagai memberi penghormatan kepada pemimpin di zaman kemerdekaan negara.

Turut berkenan berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan pengasas galeri berkenaan, Datuk Sandra Lee.

Terdahulu, Ahmad Faizal dalam ucapannya, berkata galeri berkenaan amat penting dalam memastikan legasi sesebuah masyarakat difahami dan dijadikan panduan dalam pembentukan tamadun.

“Usaha mengetengahkan nilai warisan Perak di Galeri Warisan 22 Hale Street ini wajar dipuji kerana ia memberi ruang kepada pelancong menyelami keunikan elemen warisan bandar raya Ipoh dan negeri ini.

“Ini bukan saja penting untuk mempromosi elemen warisan kepada generasi muda, malah mampu membantu pembangunan sektor pelancongan Ipoh dan Perak,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, Ipoh akan menampilkan satu lagi daya tarikan dengan memperkenalkan perkhidmatan bas ‘Hop On Hop Off’ dan perkhidmatan bas dua tingkat itu dijangka menjadi sebahagian daripada warna-warni bandar raya itu dalam suku pertama tahun ini.

Katanya, kerajaan negeri juga mengambil inisiatif menaik taraf Pusat Penerangan Pelancongan Ipoh (ITIC) demi meningkatkan mutu perkhidmatan dan keselesaan dalam kalangan pelancong.

“Bagi memaksimumkan potensi Perak dan Ipoh sebagai antara destinasi pelancongan terunggul negara, kerajaan negeri mengalu-alukan komitmen dan kerjasama semua pihak ke arah mengukuhkan pemeliharaan warisan, budaya dan tradisi tempatan.

“Ini adalah tugas kita bersama, bukan hanya demi manfaat ekonomi tetapi juga mengekalkan warisan identiti rakyat Perak untuk diperturunkan kepada generasi akan datang,” katanya.

Sempena majlis perasmian itu, pelbagai acara menarik sudah bermula sejak semalam hingga petang hari ini, antaranya Sama-sama Pride of Perak (PoP) Bazaar membabitkan 70 vendor.

Turut berlangsung sesi perkongsian fikiran bagi meningkatkan pemahaman terhadap sektor pelancongan, malam kebudayaan, bengkel membabitkan pakar kraftangan tempatan, persembahan pentas serta penampilan khas maskot pelancongan Perak iaitu Kopiro.

Source: Berita Harian